Welcome To Gallery Burdah Bicara Hamba (Mohd Sabri Mohd Yunus)

Enter your email address:

Delivered by sabriyunus





TAKAFUL.



Oleh
Mohd Sukki Bin Othman




Individu serta organisasi terdedah kepada pelbagai risiko yang boleh membawa kepada kerugian, seperti risiko kematian akibat kemalangan atau penyakit, kerosakan dan kemusnahan harta benda akibat kebakaran, banjir, taufan, dan lain-lain Bayangkan sekiranya ia terjadi kepada kita yang mempunyai tanggungan keluarga, pembiayaan rumah, kenderaan dan sebagainya. Adakah kita mempunyai wang yang cukup untuk menghadapi situasi yang tidak disangka-sangka ini? Kewujudan risiko inilah merupakan sebab kepada pembentukan sistem insurans bagi mengurangkan bebanan kewangan yang dialami akibat gangguan risiko-risiko seperti yang disebutkan tadi.


Insuran telah wujud sejak dahulu lagi. Ia bermula apabila pedagang-pedagang Arab berlayar ke serta dunia untuk berniaga dan menyebarkan dakwah Islam. Semasa dalam pelayaran tersebut, para pedagang Arab ini menghadapi pelbagai risiko seperti taufan dan ribut petir yang membahayakan diri mereka serta merosakkan barang dagangan yang dibawa. Justeru, mereka telah mewujudkan satu system insuran sebagai perlindungan sehingga lahirlah insuran yang tertua di dunia iaitu insuran marin.

Begitu juga dengan konsep takaful, ia bukanlah sesuatu yang baharu, malahan sejak permulaan Islam lagi, konsep yang seumpama ini telah dijalankan. Apabila datangnya Islam dan tertegaknya Negara Islam di Madinah yang diterajui oleh Rasulullah, beberapa sistem yang berasaskan kerjasama dan bantu-membantu telah diamalkan seperti Aqilah dan al-Qasamah. Kedua-dua system ini merupakan konsep jamin menjamin di antara anggota masyarakat yang memberikan kebaikan dan kemudahan dalam kehidupan.

Aqilah ialah satu system yang berasaskan tanggungjawab dan kerjasama antara anggota masyarakat. Mereka berpakat mewujudkan tabung yang dikenali sebagai khanz. Segala pungutan wang tabung atau caruman adalah mengikut tempoh yang dipersetujui. Antara manfaat yang terhasil daripada konsep ini ialah dapat membantu ahli atau peserta yang terlibat dalam pembunuhan secara tidak sengaja, dan menebus tawanan perang daripada musuh. Manakala al-Qasamah pula ialah tabung yang diwujudkan untuk membantu mereka yang teraniaya berhubung dengan nyawa manusia. Contohnya ialah manfaat daripada tabung itu akan diberikan kepada waris mangsa bunuh yang tidak diketahui siapakah pembunuhnya, sebagai mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh waris .

Sistem insurans konvensional yang diamalkan pada hari ini bercanggah dengan hukum syarak. Hasil kajian yang mendalam oleh para ulama’ dan di antaranya ialah Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada tahun 1972, mendapati bahawa kontrak insurans konvensional adalah kontrak jual beli tetapi tidak menepati syariat Islam yang akhirnya terdapat tiga unsur dalam kontrak dan operasi insurans konvensional iaitu gharar (ketidakpastian dalam kontrak), maisir (unsur perjudian dalam kontrak) dan riba.

Namun, insurans amat diperlukan bagi menghadapi sebarang risiko yang mengakibatkan kerugian kewangan kepada individu atau organisasi. Justeru, para ulama’ memutuskan bahawa sistem insurans yang selaras dengan landasan syarak adalah berasaskan takaful.

Sistem insuran berasaskan takaful ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi ia telah wujud pada zaman permulaan Islam lagi. Namun, konsep yang diketengahkan pada hari ini adalah lebih sistematik dan professional.

Takaful bermaksud saling jamin menjamin diantara satu sama lain. Konsep takaful amat berbeza sekali dengan konsep insurans konvensional. Ia bukanlah kontrak yang diasaskan kepada kontrak jual beli sebagaimana insurans konvensional kerana ciri-ciri kontraknya tidak memungkinkan ia menepati rukun-rukun jual beli dalam Islam.

Konsep takaful menggambarkan satu rancangan insurans yang berasaskan kepada hubungan persaudaraan, rasa saling bertanggungjawab dan saling bekerjasama di kalangan peserta-peserta takaful yang menyertai pakatan ini. Inilah yang dikehendaki oleh Islam sebagaimana firman Allah s.w.t.yang bermaksud “Tolong-menolonglah kamu pada perkara-perkara kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong pada perkara-perkara dosa dan yang boleh menimbulkan permusuhan. ( Al-Maidah:2)

Konsep asas takaful adalah berasaskan saling jamin menjamin diantara sesama peserta yang menyertai pakatan takaful. Ia bukanlah satu proses pemindahan risiko kepada pihak yang lain sebagaimana kontrak insurans konvensional di mana insured memindahkan risiko kepada insurer dengan pembayaran premium. Dalam konsep takaful, risiko tidak dipindahkan kepada mana-mana pihak, tetapi risiko ditanggung bersama dikalangan peserta-peserta yang menyertai pakatan takaful ini. Bagi melicinkan perjalanan dan pengendalian dana dalam pakatan takaful ini, sebuah badan dilantik sebagai pengurus dana dan pemegang amanah. Pengurus dana ini dikenali sebagai Pengendali Takaful (Takaful Operator).

Para peserta yang menyertai pakatan takaful ini dikehendaki membuat pembayaran sumbangan takaful yang dikenali sebagai tabarru’. Tabarru’ bermaksud menderma secara ikhlas. Penyertaan dengan niat yang ikhlas untuk membantu atas konsep tabarru’ inilah yang membuatkan penyertaan dalam takaful ini mendapat pahala disisi Allah S.W.T

Sekiranya berlaku malapetaka atau kerugian dikalangan peserta, maka setiap peserta bekerjasama membantu peserta yang mengalami musibah tersebut. Justeru, sumbangan dalam bentuk kewangan dari para peserta itu adalah untuk membantu meringankan bebanan peserta yang mengalami musibah itu adalah dianggap sebagai sumbangan khairat untuk tujuan kebajikan.

Pengendali takaful bukanlah pemilik dana sumbangan para peserta, tetapi ia bertindak sebagai pemegang amanah dengan mengurus dana sumbangan para peserta dalam hal-hal yang berkaitan dengan takaful seperti membuat pelaburan ke tempat-tempat pelaburan yang selari dengan syarak untuk tujuan pengembangan dana, mengurus kos-kos operasi yang terlibat dan membuat pembayaran perlindungan kewangan kepada peserta yang menerima nasib malang ditimpa malapetaka yang menyebabkan kerugian.

Konsep takaful dan tabarru’ inilah yang menjadi teras utama yang menghindarkan perlindungan takaful dari unsur gharar (ketidakpastian), maisir (perjudian) dan riba. Unsur maisir (perjudian) yang wujud setelah adanya elemen gharar dalam kontrak insurans konvensional dapat dihindarkan dan tidak menjadi persoalan lagi dalam kontrak takaful. Begitu juga dengan persoalan riba, kontrak takaful bukannya kontrak pertukaran wang sebagaimana dalam kontrak insurans konvensional iaitu pertukaran diantara bayaran premium dengan janji pembayaran gantirugi oleh insurer, maka elemen riba al-buyu’ dapat dihapuskan sama sekali dalam kontrak takaful.

Disamping itu, bagi tujuan pengembangan dana sumbangan takaful, pengurus dana akan membuat pelaburan berasaskan konsep mudharabah. Di bawah konsep ini, peserta takaful bertindak sebagai pemodal dan pengendali takaful bertindak sebagai pengusaha. Wang sumbangan tabarru’ merupakan modal dalam kontrak mudharabah. Pengusaha akan melaburkan modal tersebut ke tempat-tempat atau projek-projek yang selari dengan kehendak syarak. Keuntungan akan dibahagikan bersama mengikut nisbah yang dipersetujui pada ketika kontrak dibuat.

Istilah mudharabah juga dikenali sebagai qiradh atau muqaradhah. Ia berkonsepkan perkongsian keuntungan. Secaras khususnya, mudharabah ialah satu perjanjian yang melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak iaitu rabb al-mal (pemodal atau pelabur) dan mudharib (pengusaha atau pengurus). Pemodal memberikan ra’sul mal (modal) kepada pengusaha untuk tujuan pelaburan ke atas projek-projek tertentu dan hasil keuntungannya dibahagikan mengikut peratusan yang telah dipersetujui.

Dalam operasi takaful, peserta bersetuju menyerahkan sebahagian wang sumbangannya itu sebagai modal mudharabah, modal ini akan diperniagakan untuk satu tempoh yang dipersetujui bersama dan jika terdapat keuntungan, ianya akan dibahagikan mengikut peratus yang telah dipersetujui.

Pada masa yang sama, sebahagian atau keseluruhan daripada wang sumbangannya akan diberikan sebagai tabarru’ untuk tujuan saling jamin menjamin sesama peserta sekiranya berlaku malapetaka. Wang dari sumbangan tabarru’ inilah yang akan diambil untuk tujuan pembayaran manfaat takaful kepada peserta yang menerima musibah.

Kesimpulannya, kontrak perlindungan takaful amat berbeza sekali dengan kontrak insurans konvensional. Ianya suatu konsep yang jelas yang merupakan pakatan saling jamin-menjamin di antara sesama peserta sementara menanti pulangan pelaburan yang berasaskan kontrak perkongsian keuntungan. Sehubungan dengan itu, setiap individu Muslim wajib bertukar daripada berurusan dengan insuran konvensional kepada insuran takaful. Jangan berlengah lagi untuk mencari keredhaan Allah!

One Response to "PERLINDUNGAN INSURANS SECARA ISLAM"

Leave a Reply

Produk Minda Online MinisiteTanpaPhotoshop
PERHATIAN : SILA KLIK UNTUK PILIHAN RADIO @ TV KEGEMARAN ANDA...

Pengikut

Advertisement

Gambar Ulamak



السلام عليكم

ANDA ADALAH PELAWAT KE
Free Hit Counter
Tetamu Online

Untuk Paparan Terbaik Gunakan
Dengan Resolusi 1024x768

E.Mail :
:: Nama ::
Mohd Sabri Bin Mohd Yunus
:: Asal ::
Pasir Mas,Kelantan
:: Status ::
Sarjana Muda Bahasa Arab
:: Email ::
amsyarmuhazzab@yahoo.com
:: Y!M ::
amsyarmuhazzab
:: Phone Number ::
019-5350620


Kandungan Blog


AMARAN : DILARANG MENCARUT

Di sini kita bertemu dan saling bertukar ilmu

Pautan Pelbagai

Utusan Online Berita Harian Online Harian Metro Online Bernama News Suara Kontemporari The Star Melayu Nst Online Malay Mail The Star Menarik TV3 Yahoo News CNN News Aljazeera English Republika Online Harakah Sinar Harian Sinar Harian Themalaysianinsider Tranungkite Sabahkini Sabahdaily

Online Sevices
Maybank2U CIMBcliks Ambank Airasia MAS TM


Palestin Info kasturi group E-Qamus Photobucket darussyifa' Hadith akhirzaman Photobucket doa teladan belajar ba kalamfikalam isuhangat SoalJawab