Welcome To Gallery Burdah Bicara Hamba (Mohd Sabri Mohd Yunus)

Enter your email address:

Delivered by sabriyunus


Perlukah Memulangkan Wang

Sumbangan Kerana Ia Hasil Judi ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

gifts.jpg

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, kepercayaan warga emas tersebut adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 )

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-

والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله

Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:

وإذا دفعه - أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا

Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-

وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل

Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري

Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :

هذا سحت فتصدق به

Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

· Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka bercampur antara wang halal dan haram.

· Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini. Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.

· Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.

· Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.

· Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.





Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

30 Sept 2010



ALOR SETAR - Masyarakat kini harus kembali kepada ajaran al-Quran dengan melaksanakan hukum Qisas atau hukum balas bagi kesalahan jenayah melampau yang disifatkan kejam dan di luar tabii.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hanya hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada pesalah dan orang sekeliling dapat membendung jenayah kejam daripada terus berleluasa.

“Hukuman sedia ada tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada masyarakat, tidak hairanlah jenayah makin berleluasa sehingga ada pihak sanggup membunuh warga emas, kanak-kanak mahupun membuang bayi tanpa ada belas kasihan,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, hukuman Qisas seperti yang termaktub dalam kitab suci adalah sesuai untuk semua zaman, malah Allah SWT telah menyebut bahawa hukuman ini dapat memberi kehidupan yang selesa pada masyarakat.

“Apabila masyarakat melihat kesan daripada hukuman ini, contohnya mencuri hukumannya potong tangan. Mereka akan takut untuk melakukan jenayah itu kerana boleh menyebabkan mereka hilang anggota badan. Oleh itu mereka tidak berani buat begitu pada orang lain kerana hukum balas ini adalah supaya pesalah merasai keperitan mangsa,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin mengulas kejadian tragis yang menimpa jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang dipukul, dibunuh dan dibakar selain abu mayat kesemua mangsa dibuang ke dalam sungai, baru-baru ini.

Tragedi yang turut memberi kesan pada masyarakat ialah insiden seorang warga emas wanita, Lian Osman, 74, yang tinggal bersendirian di Yan, mati dibunuh selepas disamun di dalam rumah sendiri pada 15 Ogos lalu.

Kejadian lain membabitkan seorang wanita berusia 26 tahun, Suhana Mohd Shariff dari Kota Tanah, dekat sini, yang ditikam rakan baiknya sendiri sebanyak tujuh kali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 17.8 sentimeter. Kejadian pada 2 Mei itu menggemparkan rakyat Kedah kerana dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, manusia menjadi semakin kejam apabila kehidupan mereka bertunjangkan duniawi sehingga sanggup berbunuhan demi harta kekayaan.

“Banyak faktor yang menyumbang kepada kekejaman, antaranya tekanan hidup, gila harta dan kuasa. Sikap cintakan duniawi punca berlakunya kepincangan dalam masyarakat. Kita sudah hilang nilai-nilai murni dan agama yang sepatutnya dipupuk sejak kecil,” katanya.

Menurutnya, ajaran Islam tidak hanya mementingkan hukuman setimpal, sebaliknya sebelum pesalah dikenakan hukuman, mereka perlu diberi didikan.

“Jika didikan tidak beri kesan, barulah dikenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran. Ini termasuk gejala sosial seperti buang anak dan berzina,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin turut kesal kerana perbuatan kejam yang banyak dipaparkan di dada akhbar menunjukkan realiti kepincangan masyarakat kini.

“Orang yang bertamadun tidak akan melakukan kekejaman yang melampau,” katanya.

sumber



Ukuran : 21 cm x 29.7 cm (saiz A4) - Hard Cover
Berat : 2.5 kg
Mukasurat : 1,374 mukasurat




QURAN POWER 15 in 1

1. Al-Qur'an Terjemah Per Kata
2. Terjemahaan Bahagian Agama
3. Tajwid Sistem Quantum Reading Qur'an
4. Panduan Hukum Tajwid
5. VCD Tutorial Sistem Quantum Reading Qur'an
6. Tafsir Al-Muyassar
7. Asbabun Nuzul
8. Doa-doa dalam Al-Qur'an
9. Mukjizat Al-Qur'an
10. Indeks Al-Qur'an
11. Atlas Al-Qur'an
12. Kisah Para Nabi dalam Al-Qur'an
13. Zikir Al-Ma'thurat
14. Intisari Ayat
15. Links to Related Articles




CIRI-CIRI QURAN POWER 15 in 1

Klik Disini untuk maklumat lanjut

Kehebatan Malam Al-Qadr

Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan



Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.

Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul Qadr ( selain bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).

Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.

Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;

Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/
Di antara pelajaran terbesar yang mampu dipelajari di dalam dunia kecemerlangan dan kejayaan adalah kehidupan haiwan yang bernama semut. Semut akan selalu berusaha secara berulang-ulang dan terus menerus, sampai ia berhasil menggapai tujuan yang diinginkan.

Ia merangkak di sebuah pohon, lalu jatuh kemudian merangkak kembali ke atas pohon, lalu terjatuh lagi, namun ia tetap terus berusaha sampai akhirnya ia berhasil naik ke atas pohon yang diinginkan dan mendapatkan apa yang dicari tanpa pernah merasa lelah dan bosan.

Jika perjalanannya terhalang oleh sesuatu, maka ia akan berusaha bergerak ke arah kiri dan kanan, namun jika jalan tersebut masih buntu, maka ia akan berhenti sebentar, kemudian kembali lagi dengan sebuah tenaga yang jauh lebih kuat berbanding yang pertama.

Semut memiliki kekuatan yang luar biasa di dalam merealisasikan tekadnya untuk meraih apa yang diinginkan. Ia tidak pernah memiliki rasa bosan dan putus asa. Inilah sebabnya kenapa haiwan ini dijadikan contoh simulasi di dalam penyampaian kuliah motivasi kerana semangatnya yang kuat dan tidak pernah mengenal erti putus asa.


KECERDIKAN

Semut terkenal memiliki kecerdikan luar biasa di dalam usahanya mendapatkan apa yang diinginkan. Seseorang yang selalu meneliti kehidupan haiwan kecil ini, pasti merasa kagum dengan kegeligaannya.

Contohnya, jika jalannya dihalangi oleh genangan air yang tidak boleh dilewati, maka ia bersama kawan-kawannya saling bergandingan bahu membentuk sebuah jambatan. Jika semut-semut yang lain sudah menyeberang, maka semut-semut yang membentuk jambatan tersebut merapat ke tepi.

Maha suci Zat yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian membekalkannya dengan akal, naluri dan kudrat alamiyah untuk kelangsungan hidupnya masing-masing !




Jika seekor semut menemui sepotong daging atau kaki belalang, ia akan pulang ke tempat tinggalnya dan memanggil kawan-kawannya yang lain untuk bersama-sama membawa makanan yang ditemui itu.

Semut memiliki sifat kesungguhan dan kesabaran luar biasa yang dapat menjadi pelajaran bagi orang yang ingin meraih kejayaan. Bahkan seandainya anda meletakkan sebuah batu di tengah-tengah jalan yang dilalui oleh gerombolan semut, mereka akan berhenti, namun sesekali tidak akan berbalik ke arah belakang.

Akan tetapi ia akan tetap menunggu atau berusaha menaiki batu yang anda letakkan di situ atau berusaha melalui celah-celah yang ada di kiri dan kanan batu untuk mencari jalan alternatif lain.


SEMUT YANG TABAH




Suatu ketika, diceritakan kisah seorang Arab badwi yang bermusafir untuk sebuah keperluan. Ketika ia merasa sangat letih, kepenatan dan merasa putus asa, maka ia lantas duduk dan berfikir untuk kembali ke tempat asalnya.

Tiba-tiba, ia melihat seekor semut yang merangkak naik ke atas batu besar, lalu semut tersebut jatuh ke bawah dan kemudian merangkak lagi dan jatuh lagi.

Peristiwa tersebut berlaku berulang kali, namun si semut tetap berusaha dan berusaha, hingga akhirnya ia berhasil sampai ke atas batu besar tersebut.

Melihat keanehan kejadian tersebut, orang Arab badwi tersebut berkata dalam hatinya, "Saya seharusnya lebih pantas untuk bersabar dan berusaha keras daripada semut tersebut."

Lalu ia pun meneruskan perjalanannya kembali, hingga akhirnya ia pun sampai ke tempat tujuan yang diinginkan, lalu ia berkata,

"Cari dan usaha, jangan pernah berkeluh kesah dan bosan dari usaha meraih apa yang kamu inginkan. Kerana penyakit bagi orang yang ingin mencari dan meraih sesuatu adalah rasa bosan."

Sesungguhnya di dalam kehidupan semut terdapat pelajaran dan tauladan bagi orang-orang yang berakal, iaitu kesungguhan, kesabaran, tekad kuat, sikap pantang menyerah dan berusaha tanpa mengenal kata lelah dan bosan.

Bagaimana dengan anda semua?
SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

1. Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.
Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).
Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

2. Pakaian yang longgar.
Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.
Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlahisterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”
Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

3. Pakaian yang tidak jarang.
Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”
Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

4. Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).
Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.
Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

5. Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.
Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”
Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

6. Tidak bertabarruj.
Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatka nnya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.
Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)
Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.
Sempena memperingati tarikh bersejarah dengan kelahiran bayi bertuah yang dibangkit sebagai Rasulullah perubah tamadun manusia yang roboh keinsanan mereka maka kali ini akan dikupas serba sedikit mengenai keadaan kuasa dan empayar yang kukuh pada masa itu iaitu sekitar abad 6 Masihi sebelum lahirnya nabi Muhammad s.a.w. Semoga ia mampu memberi kefahaman dan kesedaran kepada kita bagaimana kelahiran Rasulullah s.a.w tidak dapat dinafikan lagi sebagai perubah dan pembawa rahmat kepada seluruh alam yang hampir hancur sifat kemanusiaannya dan telah tergadai rasa kehambaan kepada Allah Tuhan Pencipta.

Empayar Rumawi Timur

Kerajaan Rumawi Timur yang dikenali dengan Empayar Byzantine dan bangsa arab menamakannya sebagai al-Rom di mana pada abad 6 Masihi kuasa ini telah menguasai negeri Yunan (Greek), Balqan, Asia kecil, Syria, Palestin, seluruh laut Mediterranean, Mesir dengan Konstantinople (Istanbul) dijadikan pusat pemerintahan mereka. Empayar mereka bermula pada tahun 395 Masihi lagi sebelum jatuh dan hilang setelah diserang oleh kerajaan Islam Uthmaniah pada 1453 Masihi. Empayar ini pada abad ke 6 M mula mengenakan cukai yang tinggi ke atas rakyat yang menyebabkan timbulnya perasaan benci di kalangan rakyat jelata yang membawa kepada pengharapan mereka agar adanya bangsa asing yang mampu memerintah mereka menggantikan kerajaan yang sedia ada. Berkesinambungan daripada kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan telah menimbulkan rusuhan dan pemberontakan yang berlarutan di mana dalam rusuhan pada tahun 533 M sahaja pada masa pemerintahan Justin 1 maka 30 000 jiwa telah terkorban di Konstantinople. Ini disebabkan kerasukan pemerintah yang ingin mendapatkan wang sebanyak mungkin dengan apa cara sekali pun dan kemudiannya dibelanjakan dengan boros, berhibur dan berpoya-poya sehingga kepada peringkat kebinatangan.Rakyat turut terpengaruh dengan aliran batin disamping mereka suka kepada permainan sukan yang merbahaya sehingga menumpahkan darah seperti pertarungan antara manusia atau dengan binatang buas dalam stadium yang dibina khas disamping hukuman terhadap pesalah dengan hukuman yang mengerikan.

Mesir yang merupakan sebuah wilayah kepada empayar ini menjadi mangsa penindasan yang paling teruk oleh golongan agama, mangsa keganasan oleh golongan politik sehingga memaksa rakyat Mesir berkerja kuat sebagai memenuhi nafsu serakah golongan pemerintah. Mesir yang merupakan sumber besar kepada kekayaan dan kemewahan kerajaan Rom telah dijadikan seumpama kambing susu yang diperah susunya sedangkan makanannya diabaikan.

Syria sebuah lagi wilayah kuasa ini turut menjadi binatang tunggangan nafsu ganas bangsa Rom sehingga ramai rakyat Syria terpaksa menjual anak bagi menjelaskan hutang malah rampasan serta perhambaan begitu berleluasa.

EMPAYAR IRAN PARSI

Empayar Iran atau Parsi lebih luas tanah jajahannya dan lebih kaya berbanding dengan Empayar Rumawi Timur yang berpisah daripada Rome asal di Itali. Empayar Parsi ini diasaskan oleh Ardashir pada tahun 244 Masihi di masa pada ia telah mencapai zaman kemuncaknya ia telah menguasai Assyria, Khuzistan, Midya, Persia, Azarbijan, Tabristan, Sarkhas, Juzjan, Karman, Marw, Balkh, Sughd, Sistan, Harat, Khurasan, Khawazazim, Iraq dan Yaman yang sebahagian daripada Jazirah Arab termasuk sebahagian daripada daerah India seperti Kach, Kathiawar dan Malwah. Ia meningkat begitu luas sejak abad ke 4 Masihi di mana pusat pemerintahannya pada masa itu ialah Madain atau Ctephon.

Agama kuno mereka ialah Zoroaster yang merupakan kepercayaan yang mempercayai Pertarungan antara cahaya(Nur) dengan kegelapan(Zulmah). Kemudian datangnya agama Mani yang merupakan reformis kepada agama kuno tersebut di mana ia mengajak manusia untuk hidup membujang agar dunia cepat fana apabila manusia semakin pupus bertujuan untuk membasmi kejahatan di muka bumi. Pada abad ke 5 Masihi muncul pula seorang yang bernama Mazdak membawa ajaran menghalalkan harta dan wanita dengan bebas kepada semua orang sehingga suasana menjadi bercelaru apabila masing-masing dengan berani menceroboh rumah orang lain dan mencabul wanita sesuka hati. Istana turut diceroboh dan tanah diterokai sesuka hati sehingga ia rosak tidak mengeluarkan hasil. Apa yang ada pada mereka ialah hidup untuk makan dan mencapai kedudukan serta kekayaan.

Pada abad ke 6 Masihi iaitu pada masa pemerintahan dinasti Sasani keadaan bertambah buruk apabila rakyat bergantung kepada ihsan raja-raja yang menganggap darjat mereka begitu tinggi daripada semua anak Adam sehingga nama mereka dikaitkan dengan perkataan yang membawa erti ketuhanan. Maharaja (Emperor) dianggap sebagai manusia nombor satu di mana dia dipuja begitu tinggi sehingga tidak boleh disebut nama asalnya dalam ucapan atau perbicaraan malah raja dianggap daripada keturunan Tuhan. Semua pendapatan negara merupakan milik raja dan kekayaan ini kekal sehingga Yazdagird Raja Iran terakhir di mana ketika beliau lari meninggalkan Madain iaitu ibukota pemerintahannya pada masa serangan tentera Islam, beliau telah membawa lari seribu tukang masak, seribu penyanyi, seribu pengembala harimau, seribu pengembala binatang lain dan sebagainya.Rakyat begitu terseksa kehidupan mereka dibenani cukai sehingga ramai kaum tani lari menetap dikuil kerana lari daripada cukai dan menjadi tentera kerahan.Ramai rakyat yang terbunuh dalam peperangan antara Parsi dan Rom yang berlanjutan begitu lama.

EMPAYAR INDIA

India terkenal pada zaman kunonya dalam bidang sains jiwa, falak astronomi, perubatan dan falsafah dan ahli sejarah turut menyatakn bahawa India begitu merosot dari segi agama, akhlak pada permulaan abad ke 6 Masihi.Agama sudah tidak berfungsi lagi yang menyebabkan pencabulan dan penzinaan yang berleluasa dan wanita tiada harga sehingga dijadikan pertaruhan dalam perjudian, si balu tidak boleh berkahwin lagi alah dibakar hidup-hidup sebagai tanda kesetiaan. Sistem kasta begitu menebal dan kuat sehingga wujud penindasan yang kejam. India hidup terpencil daripada dunia luar sehingga pemikiran masyarakatnya menjadi beku.

EROPAH

Bangsa di Eropah Barat dan Timur berada dalam zaman kegelapan, buta huruf dan saling berperang sehingga tidak pernah bersua dengan peradaban dan pengetahuan, tidak berurusan dengan dunia luar malah dunia luar tidak tahu mengenai hal mereka. Mereka diselubungi oleh dongengan yang mengelirukan dan tidak suka kepada kebersihan dan tidak suka kepada air untuk pembersihan sehingga ada rahib yang keterlaluan menyiksa badan mereka atau lari memencilkan diri daripada manusia. Mereka masih menyelidik tentang apakah wanita itu binatang atau manusia, wanita mempunyai ruh yang kekal atau tidak, wanita mempunyai hak milik, menjual, membeli atau pun tidak.

Sehubungan dengan ini Robert Briffault berkata : " Eropah diselubungi dengan kegelapan kejahilan sejak abad ke 5 M hingga 10 M di mana kejahilan itu meningkat kegelapannya pada abad ke 6 M dengan timbulnya keganasan yang amat mengerikan sehingga lebih ganas daripada zaman purba sehingga kawasan yang dahulunya pernah mencapai peradaban paling tinggi seperti Itali dan Perancis turut menjadi mangsa kepada kekacauan dan kejatuhan itu".

Kelahiran Rasulullah s.a.w yang disifatkan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam telah merubah segala-galanya di mana dunia yang dulu sempit dihimpit kezaliman dan penindasan telah bertukar kepada keluasan dan keadilan Islam.Dunia yang dulu tenggelam dek kegelapan dan kepekatan dungu dan kejahilan berubah ke arah sinar cahaya ilmu dan pengetahuan. Dunia yang dulu dipenuhi manusia yang dirasuk nafsu kebinatangan mula kembali lembut dengan nilai kemanusiaan. Agama yang dulu dianggap sebagai adat mula bertukar menjadi dasar kehidupan gemilang.

Sumber
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (Surah Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

Sumber



Selama ana menetap di perantuan di sandakan sabah,sangat banyak ada-adat yang masih diamalkan oleh masyarakat disini...di sandakan terdiri daripada pelbagai bangsa,ada yang pribumi dan pendatang dengan izin atau tanpa izin kemudian menetap di sandakan.....Samada penetapan secara sah atau tidak entah la...Maka dengan itulah banyaknya budaya dan ada yang dibawa datang dan terus diamalkan...

Apakah pendirian kita sebagai ummat islam dalam mengamalkan budaya dan adat ini?Adakah semua budaya atau adat itu boleh dilaksanakan atau tidak boleh sama sekali diamalkan?Apakah tanda aras atau panduan ikutan yang kita laraskan pada konsep kehidupan sebagai islami yang berpegang teguh dengan ajaran islam..

Adat merupakan sesuatu kebiasaan yang diamalkan di dalam masyarakat. Sebelum meneruskan sesuatu adat yang telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat itu, sewajarnya dinilai kembali sama ada sesuatu adat tersebut bertepatan atau bercanggah dengan hukum syarak. Oleh yang demikian, sesuatu adat itu boleh dikategorikan kepada 3 iaitu:

1. Adat yang bertepatan dengan syarak - contohnya ialah adat memuliakan tetamu dalam kalangan masyarakat Jahiliyyah. Adat ini diakui oleh syarak dan memang sewajarnya diteruskan dan diamalkan dalam masyarakat.

2. Adat yang bercanggah dengan syarak - contohnya ialah adat bersanding, melempar beras, membuang sial di bulan Safar dan sebagainya. Adat seumpama ini hendaklah dihentikan kerana ia bercanggah dengan hukum syarak.

3. Adat yang tiada ketetapan daripada syarak - Contohnya ialah adat membuat bubur asyura', ia harus dilakukan selagi mana bubur yang dibuat itu sesuatu yang halal untuk dimakan.
Produk Minda Online MinisiteTanpaPhotoshop
PERHATIAN : SILA KLIK UNTUK PILIHAN RADIO @ TV KEGEMARAN ANDA...

Pengikut

Advertisement

Gambar Ulamak



السلام عليكم

ANDA ADALAH PELAWAT KE
Free Hit Counter
Tetamu Online

Untuk Paparan Terbaik Gunakan
Dengan Resolusi 1024x768

E.Mail :
:: Nama ::
Mohd Sabri Bin Mohd Yunus
:: Asal ::
Pasir Mas,Kelantan
:: Status ::
Sarjana Muda Bahasa Arab
:: Email ::
amsyarmuhazzab@yahoo.com
:: Y!M ::
amsyarmuhazzab
:: Phone Number ::
019-5350620



AMARAN : DILARANG MENCARUT

Di sini kita bertemu dan saling bertukar ilmu

Pautan Pelbagai

Utusan Online Berita Harian Online Harian Metro Online Bernama News Suara Kontemporari The Star Melayu Nst Online Malay Mail The Star Menarik TV3 Yahoo News CNN News Aljazeera English Republika Online Harakah Sinar Harian Sinar Harian Themalaysianinsider Tranungkite Sabahkini Sabahdaily

Online Sevices
Maybank2U CIMBcliks Ambank Airasia MAS TM


Palestin Info kasturi group E-Qamus Photobucket darussyifa' Hadith akhirzaman Photobucket doa teladan belajar ba kalamfikalam isuhangat SoalJawab